Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
100 terima agihan daging korban Kementerian Kewangan dan Ekonomi
09/06/2025

 


Kementerian Kewangan dan Ekonomi tidak ketinggalan dalam sama-sama menyemarakkan Sambutan Hari Raya Aidiladha dengan mengadakan Majlis Ibadah Korban bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi bertempat di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Commonwealth Drive, Jalan Kebangsaan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid; Setiausaha Tetap, Pemangku Setiausaha-setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta jabatan-jabatan di dalamnya.

Sebanyak tujuh ekor kerbau dikorbankan yang disertai oleh 49 orang peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan dan ahli-ahli keluarga Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta jabatan-jabatan di dalamnya.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Awang Abdul Haadi bin Haji Ali Hassan dan diselajurkan dengan laungan takbir yang dipimpin oleh Awang Mohammad Hazwan Hanif bin Haji Junaidi.

Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II seterusnya menyempurnakan agihan daging-daging korban kepada 100 orang penerima yang terdiri daripada golongan asnaf kawasan Daerah Brunei dan Muara.

Majlis ini merupakan aktiviti keagamaan yang diadakan setiap tahun oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam menyemarakkan lagi sambutan hari-hari kebesaran Islam, di samping mengongsikan kegembiraan bersama golongan-golongan yang kurang berkemampuan.

Majlis pada tahun ini dikendalikan oleh Tabung Amanah Pekerja, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto